KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan 11 bahagian Pilihan Raya Negeri baharu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 82 bahagian berbanding 71 sebelumnya.
Bahagian-bahagian baharu yang disyorkan ialah N.13 Batu Kitang, N.17 Stakan, N.18 Serembu, N.23 Triboh, N.26 Gedong, N.40 Kabong, N.57 Tellian, N.63 Selirik, N.66 Murum, N.70 Samalaju dan N.78 Long Lama.
Pengarah SPR Negeri Datu Takun Sunggah yang mengesahkan perkara itu semalam berkata, Notis Persempadanan Semula telah disiarkan mulai semalam, 5 Januari hingga 4 Februari 2015 menerusi akhbar-akhbar tempatan.
Salinan syor-syor yang dicadangkan berserta peta bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri juga dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai di semua Pejabat Daerah seluruh negeri termasuk Dewan Bandaraya Kuching Utara, Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Majlis Perbandaran Padawan dan Sibu serta Majlis Bandaraya Miri.
“Kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya bermula dari hari notis disiarkan hari ini (semalam) 5 Januari 2015.
“Persempadanan semula bahagian-bahagian ini dibuat berdasarkan jumlah populasi penduduk dan keluasan kawasan yang terlibat,” katanya ringkas ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, berdasarkan notis yang disiarkan semalam, pengwujudan bahagian-bahagian Pilihan Raya Negeri baharu Sarawak turut menyaksikan pindaan nama sedia ada bagi bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak.
Pindaan nama bagi bahagian Pilihan Raya Persekutuan melibatkan kawasan Parlimen P.198 Puncak Borneo yang sebelum ini dikenali sebagai Mambong.
Manakala empat lagi nama bahagian Pilihan Raya Negeri yang dipinda ialah N.19 Mambong (asal Bengoh), N.34 Batang Ai (asal Batang Air), N.41 Kuala Rajang (asal Belawai) dan N.68 Tanjong Batu (asal Kidurong).
Dalam pada itu, Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan Ahad lepas berkata syor itu dibuat selaras dengan pindaan Undang-Undang dalam Perlembagaan Negeri Sarawak yang telah dikuatkuasakan pada pada 5 Disember 2014.
Abdul Ghani menjelaskan, butiran terperinci syor yang dicadang dinyatakan dalam Notis Persempadanan Semula disiarkan selama sebulan mulai 5 Januari hingga 4 Februari 2015.
Menurutnya lagi, untuk bantahan terhadap syor-syor tersebut, hanya pihak-pihak yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan boleh berbuat demikian.
Mereka ialah kerajaan negeri atau mana-mana pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang tersentuh oleh syor itu.
Satu lagi pihak yang dibenarkan ialah seramai 100 orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan, kata Abdul Ghani.
Katanya, setiap representasi membantah syor-syor yang dicadangkan itu hendaklah dikemukakan secara bertulis kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Sarawak di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak, Tingkat 11, Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, 93728 Kuching.
Representasi tersebut mestilah sampai kepada SPR di alamat berkenaan dalam masa sebulan daripada tarikh penyiaran notis.
Bahagian Pilihan Raya Negeri baharu iaitu N.13 Batu Kitang yang disyorkan adalah dalam Parlimen Bandar Kuching, N.17 Stakan (Kota Samarahan), N.18 Serembu (Puncak Borneo asal Mambong), N.23 Triboh (Serian), N.26 Gedong (Batang Sadong), N.40 Kabong (Saratok), N.57 Tellian (Mukah), N.63 Selirik (Kapit), N.66 Murum (Hulu Rajang), N.70 Samalaju (Bintulu) dan N.78 Long Lama (Baram).
http://www.theborneopost.com/2015/01/06/spr-syor-11-bahagian-pilihan-raya-baharu/